Kaitan Bonceng Motor Dengan Seks

KUALA LUMPUR : Menghalang pasangan halal nikah menaiki motosikal bukan penyelesaian kepada gejala sosial sebaliknya hanya menindas golongan miskin, kata peguam Siti Kasim.

Aktivis itu menyifatkan penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Op Bonceng tidak relevan dan hanya menyukarkan umat Islam.

“Mengulas mengenai tindakan [JHEAT], ia adalah tindakan kurang bijak. Orang yang menggunakan akal dia akan fikir, apa kena mengena naik motor dengan seks?

“Tujuan ini untuk hentikan [masyarakat] jangan [duduk] berdekatan dengan bukan mahram kita. Itu idea mereka sebenarnya,” katanya ketika dihubungi ProjekMMO.

Kaitan Bonceng Motor Dengan Seks

“Jadi dia [penguatkuasa] sasar dulu budak motor. Sebab biasalah orang paling rendah pendapatan yang kena.

“Orang kaya-kaya naik kereta mahal-mahal ini mereka [penguatkuasa] berani hendak tahan?

“Jadi mereka sasar orang miskin, yang tidak akan berani lawan. Tidak relevan nak sekat naik motor atau kenderaan lain,” kata pejuang hak Orang Asli.

Siti, 54, mengulas mengenai sokongan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) terhadap Op Bonceng yang dilaksanakan di Terengganu.

Presidennya Abdullah Zaik Abd Rahman berkata langkah sedemikian perlu untuk membendung gejala maksiat yang menyumbang kes anak luar nikah.

“Kita sekarang berhadapan dengan masalah berat. Anak luar nikah, sumbang mahram. Dan kes laporan [anak luar nikah] bilangan yang begitu besar dan sentiasa bertambah,” katanya kepada ProjekMMO.

JHEAT belum memutuskan sama ada penguatkuasaan diperluas terhadap kenderaan lain seperti kereta.

Ketua penolong pesuruhjaya (penguatkuasaan) Nik Zulhaiza Ismail berkata maksiat dalam kereta berbeza dengan atas motosikal yang jelas kelihatan pasangan duduk erat.

“Jangan fikir pasal seks sahaja. Orang naik motor kerana ia sesuai untuk meredah kesesakan jalan raya,” ulas Siti Kasim.

Katanya penguatkuasaan tidak membantu membangunkan masyarakat Islam malah memalukan agama.

“Undang-undang sebegini memalukan Islam. Sekiranya teruskan diamalkan dalam negara ini Islam akan terus dipinggirkan.

“Islam akan dipanggil agama langsung tiada hati perut dan hanya tahu menghukum sahaja,” katanya lagi.-malaymailonline
Previous
Next Post »
loading...