Gandingan Hafiz Suip dan Misha Omar diramal juara AJL31

KUALA LUMPUR: Kekuatan penyanyi menjadi antara faktor penyumbang kejayaan sesebuah karya untuk dinobatkan sebagai Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini malam ini.
Pemenang AJL tiga kali menerusi Jerat Percintaan, Cindai dan Balqis, Datuk Siti Nurhaliza, berkata gandingan Misha Omar dan Hafiz Suip dilihat antara calon berupaya menjulang lagu dendangan mereka, Terimaku Seadanya, menjadi yang terbaik antara 12 karya dipertandingkan kali ini.
“Saya melihat mereka sebagai kombinasi yang bagus dan lagu itu sendiri mempunyai ‘sesuatu’ dari segi melodi serta liriknya.
Gandingan Hafiz Suip dan Misha Omar diramal juara AJL31
“Begitu juga beberapa lagu lain yang ada kelebihan tersendiri,” katanya kepada BH Online.
Siti berkata, Dayang Nurfaizah berpeluang cerah untuk sekali lagi membawa pulang anugerah Vokal Terbaik.
Penyanyi Lelaki Teragung itu sudah dua tahun berturut-turut menjulang trofi berkenaan, masing-masing menerusi Di Pintu Syurga (AJL29) dan Tak Pernah Menyerah (AJL30).
Menurut Siti, antara yang dilihat bakal memberikan saingan ialahProjector Band dan Black, menerusi dendangan mereka iaitu Sudah Ku Tahu dan Anugerah Terindah.
“Semuanya bergantung pada persembahan langsung malam ini. Semuanya boleh berlaku dan moga mereka dapat memberikan yang terbaik,” katanya.
Penyanyi yang pernah lapan kali menghiasi pentas AJL, Ziana Zain, berkata lagu yang bersaing malam ini mempunyai peluang dan kelebihan masing-masing untuk muncul pemenang utama, namun kekuatan asas terletak pada penyanyi yang menyampaikannya.
“Sukar membuat telahan. Tidak dinafikan ada beberapa lagu yang mempunyai kelebihan tersendiri namun mereka tidak berada di laluan mudah.
“Dayang (Lelaki Teragung), Misha dan Hafiz antara penyanyi yang mampu mewarnakan lagu dengan baik dan membawa lagu nyanyian mereka ke tahap yang bagus,” katanya.
Tambah penyanyi yang pernah cemerlang menerusi lagu Puncak Kasih dan Menadah Gerimis pada siri AJL lalu itu, Hazama dengan lagu Di Amaran Mama juga mempunyai peluang kerana kelainan muzik serta dendangan yang berentak segar.
Amy Search turut berasakan Dayang mempunyai peluang untuk muncul antara pemenang pada malam ini berikutan kelebihannya dalam menyampaikan lagu.
“Dayang seorang penyanyi yang konsisten dan mampu memberikan persembahan yang bagus. Jika semuanya lancar malam ini, saya percaya Dayang punyai peluang,” katanya yang pernah muncul pemenang pada edisi 1989 menerusi lagu Isabella.
Sementara itu, Ziana berharap kategori lagu diperkenalkan semula dalam AJL edisi akan datang bagi memberikan justifikasi lebih adil kepada karya bertanding.
Beliau berkata, pemilihan menerusi kategori lebih fokus dan memberikan keadilan kepada lagu yang dihasilkan.
“Saya rasa lebih baik diadakan semula kategori, terutamanya etnik kreatif, sebab lagu dalam genre itu semakin sunyi dan bagaikan tiada tempat. Pada anugerah muzik di Amerika Syarikat pun mereka ada kategori untuk lagu country, jadi mengapa tidak kita berbuat perkara sama?” katanya.
Ziana berkata, AJL ialah antara pentas yang masih berprestij dalam mengangkat karya muzik tanah air dan sewajarnya anugerah itu diteruskan.
Siti turut senada dengan bintang Sembilu itu dan berharap penganjuran AJL diteruskan demi memartabatkan muzik tempatan sekali gus melahirkan karya terbaik setiap tahun.
INFO:
Penyanyi dan lagu yang bertanding pada AJL31:
1. Dayang Nurfaizah – Lelaki Teragung
2. Sufian Suhaimi – Terakhir
3. Projector Band – Sudah Ku Tahu
4. Aliff Satar – Selamanya Cinta
5. Misha Omar dan Hafiz Suip – Terimaku Seadanya
6. Aiman Tino – Kurela Dibenci
7. Hazama & The Penglipurlara – Diamaran Mama
8. Akim & The Majistret – Obses
9. Elizabeth Tan & Awie Rafael – Setia
10. Syamsul Yusof & Mawi – Kalah Dalam Menang
11. Khalifah – Hang Pi Mana
12. Black – Anugerah Terindah
Previous
Next Post »
loading...