Mayat si mati, 50, dijumpai terbaring di kawasan hadapan pintu masuk kompleks beli-belah berkenaan oleh orang awam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit mengesahkan kejadian itu.
Katanya, pada jam 8.30 pagi, seorang anggota bertugas di Balai Polis Pusat Miri menerima panggilan telefon daripada orang awam mendakwa ada orang terjun bangunan.
Bertindak atas maklumat diterima, ASP Zainan Azili Abdul Latif dan Ketua Balai Polis Pusat Miri ASP Nagulan Maniam yang bergegas ke lokasi dimaklumkan mendapati seorang wanita terbaring di atas jalan.
Sementara itu, menurut Stanley, suami si mati ada memberitahu bahawa isterinya telah keluar rumah awal pagi semalam.
“Si mati ada menghubungi suaminya sambil memberitahu bahawa dia sedang berada di tingkat lima hotel berkenaan dan meminta suaminya datang untuk mengambil barang-barangnya.
“Suami juga ada memaklumkan bahawa si mati sering menyatakan mahu membunuh diri selama ini,” katanya sambil memberitahu, si mati telah menerima rawatan psikiatri sejak tahun lepas.
Si mati dipercayai telah terjun dari tingkat lima hotel berkenaan yang turut menempatkan kolam renang.
Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
Sehubungan itu, kata Stanley, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat.-UB