Hans yang berusia 44 tahun telah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (D.I.M.P) pada Ahad lepas, melahirkan rasa keterujaan dan senang hati. Ini kerana hasil karyanya dalam industri seni dilihat dan dihargai oleh Tuanku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
"Apabila saya menerima anugerah tersebut, perkara pertama yang mengamit nostalgia saya ialah arwah bapa saya. Sebelum ini arwah bapa saya turut menerima D.I.M.P.
"Dikesempatan ini saya ucapkan terima kasih beribu-ribu kepada peminat saya, pengikut di Instagram dan tidak lupa juga kepada pihak media yang selalu menyokong perkembangan karier saya selama ini," tuturnya ketika dihubungi semalam.
Selain itu, Hans juga ada memberikan nasihat kepada golongan pendatang baru dalam arena seni baik dalam muzik mahupun lakonan.
"Paling penting dalam industri seni ialah mereka mesti ada disiplin diri dan jangan poyo.
"Sejujurnya untuk menjadi seorang selebriti mahupun artis di zaman ini sungguh senang. Ini kerana adanya platform yang tidak terhad berbanding di zaman saya dahulu adalah terhad untuk menonjolkan diri jadi tolonglah hargai dunia seni," ujarnya.
Menurut pengalaman orang yang lebih makan garam, Hans berpesan lagi, pendatang baru kena cermin diri dan lihat pada bakat yang ada serta bukan sekadar populariti. Untuk hidup dalam arena seni mereka kena bijak mengatur langkah.
Untuk rekod, Hans akan melangsungkan lagi hiburan Lawak Ke Der 2016 pada bulan Mei depan di lokasi yang sama, Istana Budaya.