PARIS - PERANCIS. Perdana Menteri Perancis Manuel Valls semalam berkata, pihak berkuasa percaya kumpulan pengganas kini sedang merancang serangan ganas terhadap Perancis dan negara Eropah lain.
Kenyataan terbaharu Valls itu hadir tiga hari selepas siri serangan bersenjata Paris yang mengorbankan ratusan nyawa, Jumaat lalu.
“Kita tahu operasi-operasi sedemikian dirancang dan kini masih dirancang, bukan sahaja di Perancis, tetapi juga di negara Eropah lain.
"Rakyat kini Perancis terpaksa hidup dengan ancaman pengganas dalam tempoh masa yang lama," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Valls memaklumkan polis Perancis telah menjalankan lebih 150 serbuan ke atas suspek militan sejak serangan di Paris.
Sumber polis di Paris berkata, beberapa serbuan awal pagi dijalankan termasuk di Bobigny, sebuah bandar di pinggir ibu negara semalam.
Sebanyak 13 serbuan turut dilakukan di sekitar bandar Lyon.
Serbuan tersebut membawa kepada lima tangkapan dan rampasan senjata api termasuk pelancar roket, senapang Kalashnikov, jaket kalis peluru, pistol dan gear pertempuran.
Difahamkan, tiga orang ditangkap di Toulouse dan puluhan lagi diberkas di bandar Alpine di Grenoble.
Suspek utama diberkas
Suspek yang dikehendaki berhubung serangan bersenjata di Paris Jumaat lalu dilaporkan telah diberkas polis semalam.
Salah Abdeslam, 26, telah ditahan dalam operasi polis di ibu kota Belgium, Brussels.
Bagaimanapun, pegawai tempatan tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan penahanan lelaki tersebut.
Kelmarin, polis Perancis menyiarkan gambar suspek dan dia turut dikehendaki di Belgium yang mengeluarkan waran tahanan antarabangsa terhadapnya.
Salah disyaki bertanggungjawab melancarkan serangan di Dewan Konsert Bataclan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 89 orang pada hari kejadian tersebut.
Abang suspek, Brahim Abdeslam, 31, meletupkan dirinya di luar sebuah kafe di Boulevard Voltaire di Timur Paris, manakala seorang lagi abangnya dipercayai antara tujuh orang yang ditahan di Belgium.
Sementara itu, menurut laporan BBC, suspek dipercayai berjaya melepasi sempadan Perancis dan memasuki Belgium pada Sabtu lalu.
Dia sebelum itu telah berhenti untuk pemeriksaan bersama dua yang lain dilepaskan selepas disoal siasat.
Bagaimanapun petunjuk baharu yang diperolehi pasukan keselamatan negara itu menunjukkan dia mempunyai kaitan dengan kereta yang dijumpai berhampiran Bataclan.
Penyerang kedua dikenal pasti
Menteri Migrasi Greece memaklumkan pasport Syria yang ditemui pihak polis di tempat kejadian didakwa milik Ahmad alMohammad, pencari suaka yang mengambil laluan pendatang melalui kawasan Balkan.
Menurut Yannis Mouzalas, penyerang berusia 25 tahun yang didaftarkan di Pulau Leros pada 3 Oktober lalu itu meninggalkan negara pada tarikh tidak diketahui dan kali terakhir dicatatkan di Croatia, bulan lalu.
Sumber Perancis mengesahkan, pasport ditemui berhampiran Stade de France mempunyai nama Ahmad, yang dilahirkan pada 10 September 1990.
Terdahulu, polis Perancis mengenal pasti penyerang pertama Omar Ismail Mostefai, 29, selepas jari telunjuknya yang terputus ditemui di dewan konsert Bataclan, salah satu tempat serangan tersebut.
Angka kematian naik 132
Pegawai perubatan Perancis kelmarin memberitahu tiga mangsa yang cedera dalam serangan di Paris telah meninggal dunia sekali gus menjadikan angka kematian meningkat kepada 132 orang.
Agensi yang menguruskan hospital di ibu negara mengeluarkan angka terkini, namun tidak dapat memberikan maklumat mengenai mangsa cedera yang dibawa ke hospital tentera terletak di luar Paris.
Menurut pihak berkuasa, seramai 42 orang kini masih berada dalam rawatan rapi.
Pegawai turut mengesahkan tiga pengebom berani mati cuba masuk ke dalam stadium negara Stade de France ketika perlawanan persahabatan sedang berlangsung antara Jerman dan Perancis, sebelum meletupkan diri mereka.
Menteri Sukan Perancis, Thierry Braillard berkata, kira-kira 80,000 orang termasuk Presiden Francois Hollande, turut berada di stadium ketika serangan berlaku.
“Mereka ingin masuk ke dalam stadium, tetapi gagal,” menurut Braillard.
Jet pejuang Perancis terus bedil Raqqa
Jet pejuang Perancis terus menyerang kumpulan militan IS di Raqqa, Syria, selepas pemimpin dunia berikrar akan memperbaharui perjuangan mereka terhadap kumpulan bersenjata berkenaan yang didakwa bertanggungjawab terhadap serangan di Paris.
Kementerian Pertahanan Perancis memberitahu, dalam serangan udara pertama menentang IS sejak serangan Paris, 12 jet pejuang termasuk 10 pesawat pengebom telah menjatuhkan 20 bom terhadap sasaran pada malam kelmarin.
“Sasaran pertama memusnahkan bilik gerakan kumpulan terbabit, pusat latihan dan depot senjata serta peluru. Manakala serangan kedua, menyasarkan kem latihan IS,” menurut kementerian dalam satu kenyataan.
Katanya lagi, pesawat tempur itu berlepas dari Jordan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dan serangan telah dijalankan dengan kerjasama tentera Amerika Syarikat.
Sementara itu, IS menerusi laman Twitter berkata, serangan tersebut turut terkena muzium, klinik, hospital, ladang ayam dan sebuah bangunan kerajaan tempatan.
“Bekalan air dan elektrik di seluruh bandar terputus akibat serangan. Sekurang-kurangnya 30 serangan udara telah dilancarkan. Bagaimanapun, tiada orang awam dilaporkan terbunuh,” katanya.