Gara-gara membeli alat penguji kehamilan di sebuah farmasi hospital terkemuka di Kuala Lumpur, Emma Maembong telah disangka mengandung.
Menceritakan hal tersebut kepada Media Hiburan, memang benar dia mahu membeli alat tersebut namun belum sempat diterangkan untuk siapa, pekerja farmasi tersebut telah membawa Emma untuk bertemu dengan doktor dan memberitahu kes 'sepertinya' itu banyak berlaku.
"Belum sempat saya terangkan dia dah bawa jumpa doktor. Bila saya nak cakap, dia mencelah sampai saya tak dapat nak terangkan hal sebenar. Ada juga pelanggan lain yang dengar fasal hal ini.
"Sebenarnya kebetulan saya berlakon di hospital tersebut dan kakak saya Yaya minta saya belikan alat ujian kehamilan itu sebab dia tak larat. Bukanlah untuk saya tetapi untuk kakak saya.
"Bila diterangkan pada doktor dan doktor itu memahami. Bila ditanya pada pekerja farmasi tersebut, katanya dia teruja sebab Emma yang datang," cerita Emma sambil ketawa mengenang peristiwa tersebut.
Walau apa pun Emma bersyukur kerana kini kakaknya Yaya telah disahkan hamil anak sulung.