Rozita Che Wan Berpantang di rumah ibu


Rozita Che Wan, 41, yang baru saja melahirkan bayi perempuan, Sabtu lalu berada dalam keadaan sihat dan dijangka keluar daripada hospital hari ini.

Bagaimanapun menurut pengurusnya, Afeeq Abdul Wahab, Rozita agak keletihan kerana ramai yang datang melawatnya.


"Dia dah sihat cuma dia agak keletihan kerana melayan ramai saudara-mara dan kawan yang datang melawatnya sebaik saja mereka tahu dia bersalin. Bayi pun ok, tak meragam langsung.
"Rozita akan berpantang di rumah ibunya," kata Afeeq.

Bayi yang dilahirkan seberat 3 kilogram itu dan belum diberi nama adalah bayi pertama hasil perkahwinan Rozita dengan pelakon Zain Saidin. Menerusi perkahwinan pertamanya, Rozita dikurniakan dua anak lelaki, Ammar Effendy, 19 dan Aniq Ezzra, 17.

Jelas Afeeq, sebenarnya tarikh 1 November adalah tarikh yang dicadangkan doktor untuk dia bersalin. Namun, sebaik tiba di hospital doktor beritahu yang Rozita sudah boleh bersalin dan terus ditahan. Pelakon itu bersalin di KPJ Ampang Puteri, pada jam 2.18 petang.

Katanya lagi, mereka tidak menyangka proses bersalin Rozita berjalan dengan lancar dan teratur.
"Macam tak percaya sebab semuanya berjalan dengan lancar dan selamat. Malah, pagi kelmarin sebelum ke hospital kami bersarapan nasi lemak dan bergurau macam biasa.

"Dia menunggu dalam bilik bersalin lebih kurang lima jam dan bersalin secara normal," katanya.
Wajah bayi yang sangat mirip bapanya itu, buat kali pertama disiarkan dalam program H! Live Astro, pada hari sama dia dilahirkan.

Previous
Next Post »
loading...